Politik Filipina

Rencana utama: Politik Filipina

Filipina mempunyai kerajaan demokrasi yang berbentuk republik berperlembagaan dengan sistem presiden.[29] Ia ditadbir sebagai negara kesatuan kecuali Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) yang amat bebas dari ikatan kerajaan pusat. Adanya cubaan untuk menukarkan bentuk kerajaan kepada persekutuan, ekadewan, atau kerajaan berparlimen sejak pemerintahan Ramos.[30][31]

Presiden memegang peranan ketua negara dan ketua kerajaan sekaligus, lagipun merupakan panglima agung Angkatan Tentera Filipina. Presiden dipilih secara pilihan raya untuk satu penggal enam tahun. Dalam sepenggal itu beliau melantik dan mengetuai sebuah jemaah menteri.[32] Kongres Filipina yang dwidewan terdiri daripada Senat (Senate) sebagai dewan atas yang mana ahli-ahlinya dipilih untuk penggal enam tahun, dan Dewan Perwakilan (House of Representatives) sebagai dewan bawah yang mana ahli-ahlinya dipilih untuk penggal tiga tahun.[32]

Ahli-ahli Senat atau Senator dipilih oleh serata negara sementara ahli-ahli Dewan Perwakilan terpilih oleh daerah perwakilan masing-masing.[32] Kuasa kehakiman terletak di Mahkamah Agung (Supreme Court) yang terdiri daripada Hakim Besar (Chief Justice) selaku pengerusi dan 14 orang hakim bersekutu (associate justices), semuanya dilantik oleh Presiden daripada pencalonan yang diserahkan oleh Majlis Peguam dan Kehakiman (Judicial and Bar Council).[32]

Hubungan luar

Presiden Rodrigo Duterte bersama Presiden AS Donald Trump di sidang dua hala di Pasay, 2017.Ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina di Pasay.

Hubungan luar Filipina berasaskan perdagangan dengan negara-negara lain serta kebajikan 10 juta orang Filipina yang tinggal di luar negara.[33] Sebagai negara pengasas dan anggota aktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Filipina pernah dipilih beberapa kali untuk menyertai Majlis Keselamatan. Carlos P. Romulo merupakan bekas Presiden Perhimpunan Am Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Filipina aktif dalam Majlis Hak Asasi Manusia serta misi pengamanan, khususnya di Timor Leste.[34][35][36]

Di samping menganggotai PBB, Filipina juga merupakan negara pengasas ASEAN (Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara), sebuah pertubuhan yang direka bagi mengukuhkan hubungan serta memupuk pembangunan ekonomi dan kebudayaan di kalangan negara-negara Asia Tenggara.[37] Filipina telah menjadi tuan rumah bagi beberapa sidang kemuncak ASEAN serta banyak menyumbang kepada hala tuju dan dasar-dasar blok serantau.[38]

Filipina menghargai hubungan dengan Amerika Syarikat.[33] Ia menyokong AS ketika Perang Dingin dan Perang terhadap Keganasan serta merupakan sekutu utama luar NATO. Biarpun sejarah begitu muhibah, namun dari masa ke semasa timbul kontroversi berkenaan kehadiran bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Teluk Subic dan Clark serta Perjanjian Angkatan Melawat.[33] Jepun selaku penyumbang terbesar bantuan pembangunan rasmi kepada Filipina,[39] dianggap sebagai kawan. Biarpun masih ada ketegangan bersejarah tentang isu-isu seperti penderitaan wanita penghibur, namun kemarahan yang tercetus oleh memori Perang Dunia Kedua sudah banyak reda.[40]

Hubungan dengan negara-negara lain pada umumnya positif. Perkongsian nilai-nilai demokrasi memudahkan hubungan dengan negara-negara Barat dan Eropah sementara persamaan kepentingan ekonomi membantu hubungan dengan negara-negara membangun yang lain. Hubungan sejarah dan kebudayaan juga menjadi penjalin hubungan dengan negara Sepanyol.[41][42][43] Biarpun terjejas oleh isu-isu seperti penindasan dan kesan perang terhadap buruh Filipina,[44][45] namun hubungan dengan negara-negara Timur Tengah mesra seperti yang dicerminkan oleh dua juta orang Filipina yang masih diambil kerja di rantau tersebut.[46]

Kini ancaman komunis sudah lama reda, maka hubungan Filipina dengan China yang tegang pada 1950-an sudah banyak meningkat. Namun isu-isu berkenaan Taiwan, Kepulauan Spratly, dan kebimbangan atas meluasnya pengaruh tetap menyemai rasa berjaga-jaga.[40] Dasar luar baru-baru ini bertumpu pada hubungan ekonomi dengan negara-negara jiran Asia Tenggara dan Asia Pasifik.[33]

Filipina merupakan ahli aktif Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Kesatuan Latin, Kumpulan 24, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).[32] Ia juga ingin mengeratkan hubungan dengan negara-negara Islam dengan berkempen untuk diberi status pemerhati di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).[47][48]

Tentera

Angkatan Tentera Filipina (Bahasa Inggeris: Armed Forces of the Philippines, AFP; Bahasa Filipino: Sandatahang Lakas ng Pilipinas, ; Bahasa Sepanyol: Fuerzas Armadas Filipinas) bertanggungjawab atas keselamatan negara dan terdiri daripada tiga cabang, iaitu Tentera Udara Filipina, Tentera Darat Filipina, dan Tentera Laut Filipina (termasuk Kor Marin).[49][50][51] Angkatan Tentera Filipina merupakan angkatan sukarela. Keselamatan awam pula terletak pada Polis Kebangsaan Filipina (Philippine National Police) di bawah Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG).[52][53]

Di Wilayah Autonomi Islam Mindanao, kumpulan pemisah terbesar iaitu Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro kini bertempur dengan kerajaan pusat. Kumpulan militan lain seperti Barisan Pembebasan Islam Moro, puak komunis New People's Army, dan Abu Sayyaf pernah menculik warga asing untuk wang tebusan, khususnya di pulau selatan Mindanao.[55][56][57][58] Kehadiran mereka susut atas berkat kawalan keselamatan dari kerajaan Pusat.[59][60] Pada 1.1 peratus daripada KDNK, Filipina kurang berbelanja untuk tentera daripada purata ASEAN.[61][62]

Filipina bersekutu dengan Amerika Syarikat sejak Perang Dunia Kedua. Sebuah perjanjian pertahanan bersama antara kedua-dua negara ditandatangani pada 1951. Filipina menyokong dasar-dasar AS sewaktu Perang Dingin serta terlibat dalam perang-perang Korea dan Vietnam. Setelah bermulanya Perang Terhadap Keganasan, Filipina menyertai angkatan tentera bergabung yang menyokong usaha AS di Iraq.[63]

Pembahagian pentadbiran

    Maklumat selanjutnya: Daerah di Filipina

Filipina terbahagi kepada tiga kelompok pulau, iaitu Luzon, Visayas, dan Mindanao, dibahagikan lagi kepada 17 bahagian (regions), 81 wilayah (provinces), 145 bandar (cities), 1,489 perbandaran (municipalities), dan 42,036 barangay.[64] Tambahan pula, Seksyen 2 Akta Republik No. 5446 menegaskan bahawa penentuan wilayah laut di sekitar kepulauan Filipina tidak menyentuh fasal tuntutan ke atas bahagian timur Sabah.[65][66]

Bahagian atau regions dalam konteks Filipina merupakan bahagian pentadbiran yang diwujudkan terutamanya untuk menyusun atur wilayah-wilayah negara untuk memudahkan pentadbiran. Filipina terbahagi kepada 17 bahagian (16 ditadbir terus dan 1 berautonomi). Kebanyakan pejabat kerajaan ditubuhkan mengikut bahagian dan bukan satu per satu wilayah, dengan ibu kota selalunya (tetapi tidak semestinya) terletak di pusat bahagian berkenaan. Setakat 2015[update], CALABARZON merupakan bahagian yang paling ramai penduduk sementara Bahagian Ibu Kota Negara (National Capital Region) paling padat penduduknya.

Rujukan

WikiPedia: Filipina http://crocodilian.blogspot.com.au/2011/11/accurat... http://www.environment.gov.au/soe/2001/publication... http://www.abc.net.au/7.30/content/2012/s3402880.h... http://summit.sfu.ca/system/files/iritems1/6689/b1... http://news.abs-cbn.com/pinoy-migration/07/02/09/f... http://www6.appliedbiosystems.com/yfilerdatabase/ http://aroundtheworldinaday.com/philippines_thaila... http://asiapacificuniverse.com/pkm/tech.htm http://www.atimes.com/atimes/Southeast_Asia/HE10Ae... http://www.authorama.com/former-philippines-b-8.ht...