Sejarah Jepun

Rencana utama: Sejarah Jepun

Prasejarah

Sebuah kapal zaman Jomon Pertengahan (3000-2000 SM).

Kajian arkeologi menunjukkan bahawa Jepun telah diduduki oleh manusia purba setidaknya 50,000 tahun yang lalu, pada zaman Paleolitik Akhir. Setelah melalui beberapa zaman air batu jutaan tahun lalu, Jepun beberapa kali terhubung dengan daratan Asia melalui jambatan darat (dengan Sakhalin di utara, dan mungkin sekali Kyushu di selatan), sehingga memungkinkan perpindahan manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan ke kepulauan Jepun dari kawasan yang kini merupakan wilayah Republik Rakyat China dan Korea. Zaman Paleolitik Jepun menghasilkan alat-alatan buatan batu-batan tergilap yang pertama di dunia, sekitar tahun 30000 SM.

Dengan berakhirnya zaman air batu terakhir dan datangnya zaman yang lebih panas, kebudayaan Jomon muncul sekitar 11000 SM, yang bercirikan gaya hidup pemburu-pengumpul separa sedentari zaman Mesolitik hingga Neolitik dan pembuatan hasil tembikar terawal di dunia. Dipercayai bahawa penduduk Jomon merupakan nenek moyang suku Proto-Jepun dan suku Ainu masa kini.

Dimulainya zaman Yayoi pada sekitar 300 SM menandakan kemunculan teknologi-teknologi baru seperti bercucuk tanam padi di sawah yang dilengkapi sistem pengairan dan teknik pembuatan perkakas daripada besi dan gangsa yang dibawa masuk oleh pendatang dari dari China atau Korea.

Dalam sejarah China, bangsa Jepun pertama kali disebut dalam catatan sejarah klasik, Buku Han yang ditulis tahun 111. Zaman Yayoi kemudian diganti oleh zaman Kofun sekitar tahun 250 M, yang terdiri daripada negeri-negeri yang dilengkapi kekuatan tenteranya. Menurut Catatan Tiga Kerajaan, negeri paling berjaya di kepulauan Jepun waktu itu ialah Yamataikoku.

Zaman Klasik

Dalam sejarah Jepun tertinggalnya catatan bertulis seawal abad ke-5 dan abad ke-6 Masihi, ketika unsur-unsur kebudayaan Cina seperti tulisan Cina, agama Buddha, dan dibawa masuk ke Jepun dari Kerajaan Baekje di Semenanjung Korea.

Jepun pernah dua kali menangkis serangan Mongol terhadap Jepun (1274 dan 1281)

Perkembangan agama Buddha di Jepun dan seni ukir patung banyak dipengaruhi oleh agama Buddha dari China.[22] Walaupun pihak pemerintah yang menganut agama Shinto mula-mulanya menentang keras kedatangan agama Buddha, namun lama-kelamaan akhirnya memeluk dan memajukan agama Buddha di Jepun, sehingga menjadi agama yang ramai penganut di Jepun sejak zaman Asuka.[23]

Dalam Pembaharuan Taika yang dijalankan pada tahun 645, Jepun menyusun semula sistem pemerintahannya dengan mencontohi China, sekaligus membuka jalan untuk fahaman Konfusianisme Cina memperluaskan pengaruh di Jepun sehingga abad ke-19.

Zaman Nara pada abad ke-8 ditandai oleh pemusatan semula kuasa pemerintahan sebuah negeri Jepun, dengan terbinanya ibu kota dan istana maharaja di Heijo-kyo (kini Nara). Pada zaman Nara, Jepun secara terus-menerus mengamalkan pentadbiran kerajaan seperti China. Salah satu pencapaian terbesar sastera Jepun pada zaman Nara ialah lengkapnya buku sejarah Jepun yang disebut Kojiki (712) dan Nihon Shoki (720).[24]

Patung Buddha di Todaiji, Nara, yang dibuat pada tahun 752.

Pada tahun 784, Maharaja Kammu memindahkan ibu kota ke Nagaoka-kyō, dan mentadbir di sana untuk 10 tahun sahaja. Selepas itu, ibu kota dipindahkan ke Heian-kyō (kini Kyoto). Pemindahan ibu kota ke Heian-kyō memulakan zaman Heian yang merupakan masa keemasan kebudayaan klasik asli Jepun, terutamanya dalam bidang kesenian, puisi dan kesasteraan Jepun. Hikayat Genji karya Murasaki Shikibu dan lirik lagu kebangsaan Jepun Kimi ga Yo berasal dari zaman Heian.[25]

Zaman Pertengahan

Pendatang Portugis pada zaman Nanban, abad ke-17.

Zaman pertengahan di Jepun merupakan zaman feudalisme yang ditandai oleh perebutan kuasa antara golongan pemerintah yang terdiri dari padakesatria yang bergelar samurai. Pada tahun 1185, setelah menghancurkan puak Taira yang menyaingi puak Minamoto, Minamoto no Yoritomo dijulang sebagai shogun, lalu mengambil peranan sebagai pemimpin tentera yang berbagi kekuasaan dengan Maharaja. Pemerintahan tentera yang didirikan Minamoto no Yoritomo disebut Keshogunan Kamakura kerana pusat pemerintahan berada di Kamakura (di selatan Yokohama masa kini). Setelah Yoritomo meninggal dunia, puak Hōjō membantu keshogunan sebagai shikken, iaitu bagaikan adipati kepada para syogun. Kesyogunan Kamakura berjaya menangkis serangan Mongol dari wilayah China yang ketika itu dijajah oleh kaum Mongol pada tahun 1274 dan 1281. Meskipun secara politik terbilang stabil, Keshogunan Kamakura akhirnya digulingkan oleh Maharaja Go-Daigo yang mengembalikan kuasa di tangan maharaja. Maharaja Go-Daigo akhirnya digulingkan oleh Ashikaga Takauji pada tahun 1336.[26] Keshogunan Ashikaga gagal membendung kekuatan penguasa tentera dan tuan tanah feudal (daimyo), maka terletusnya perang saudara pada tahun 1467 (Perang Ōnin) yang memulakan masa satu abad yang ditandakan oleh peperangan antara paksi yang disebut masa negeri-negeri saling berperang atau zaman Sengoku.[27]

Pada abad ke-16, para pedagang dan mubaligh Jesuit dari Portugal pertama kali tiba di Jepun, lalu memulakan kegiatan pertukaran perniagaan dan kebudayaan antara Jepun dan Dunia Barat (Perdagangan dengan Nanban). Orang Jepun ketika itu menggelar orang asing dari Dunia Barat sebagai namban yang berarti kaum gasar dari selatan.

Salah sebuah kapal mohor merah Jepun (1634) yang dipakai oleh para saudagar di Asia.

Oda Nobunaga menaklukkan daimyo-daimyo lain dengan memanfaatkan teknologi dan senjata api dari Eropah. Nobunaga hampir berjaya menyatukan Jepun sebelum dibunuh dalam Peristiwa Honnōji 1582. Toyotomi Hideyoshi menggantikan Nobunaga, lalu memainkan peranan sebagai penyatu Jepun pada tahun 1590. Hideyoshi berazam untuk menguasai Korea, dan dua kali cuba menyerang Korea, namun gagal setelah kalah dalam pertempuran melawan pasukan Korea yang dibantu kekuatan Dinasti Ming. Setelah Hideyoshi meninggal dunia, bala tenteranya berundur dari Semenanjung Korea pada tahun 1598.[28]

Sepeninggal Hideyoshi, putera Hideyoshi yang bernama Toyotomi Hideyori mewarisi kekuasaan sang ayah. Tokugawa Ieyasu memanfaatkan posisinya sebagai adipati bagi Hideyori untuk meraih sokongan politik dan tentera daripada daimyo-daimyo lain. Setelah mengalahkan puak-puak penyokong Hideyori dalam Pertempuran Sekigahara tahun 1600, Ieyasu diangkat sebagai shogun pada tahun 1603. Pemerintahan tentera yang didirikan oleh Ieyasu di Edo (kini Tokyo) dipanggil Keshogunan Tokugawa. Keshogunan Tokugawa curiga terhadap kegiatan mubaligh Katolik, oleh itu melarang segala hubungan dengan orang-orang Eropah. Hubungan perdagangan antarabangsa hanya terhad kepada pedagang Belanda di Pulau Dejima, Nagasaki. Pemerintah Tokugawa juga mengamalkan pelbagai dasar lain seperti undang-undang buke shohatto untuk mengendalikan daimyo di seluruh daerah. Pada tahun 1639, Keshogunan Tokugawa mula menguatkuasakan dasar sakoku ("negara tertutup") yang berlangsung selama dua setengah abad yang disebut zaman Edo. Walaupun pada zaman pemencilan, orang Jepun masih dapat mempelajari ilmu dari Dunia Barat. Di Jepun, ilmu daripada buku-buku Barat dipanggil rangaku (ilmu Belanda) ihsan hubungan orang Jepun dengan penduduk berbangsa Belanda di Dejima, Nagasaki. Pada zaman Edo, orang Jepun juga mula mengkaji negara Jepun lalu memberi istilah kokugaku kepada kajian negara Jepun.[29]

Zaman Moden

Empayar Jepun menakluki sebahagian besar Asia Timur dan Tenggara pada tahun 1942.

Pada 31 Mac 1854, ketibaan Komodor Matthew Perry dan "Kapal Hitam" Angkatan Laut Amerika Syarikat memaksa Jepun untuk membuka diri terhadap Dunia Barat melalui Persetujuan Kanagawa. Persetujuan-persetujuan selanjutnya dengan negara-negara Barat pada masa Bakumatsu menimbulkan krisis ekonomi dan politik di Jepun. Golongan samurai menganggap Keshogunan Tokugawa semakin goyah, lalu memberontak sehingga tercetusnya Perang Boshin dari tahun 1867 hingga 1868. Setelah Keshogunan Tokugawa digulingkan, kekuasaan dikembalikan ke tangan maharaja (Pemulihan Meiji) dan sistem domain dimansuhkan. Semasa Pemulihan Meiji, Jepun mengamalkan sistem politik, undang-undang, dan ketenteraan dari Dunia Barat. Kabinet Jepun menubuhkan Dewan Penasihat Maharaja, menyusun Perlembagaan Meiji, dan membentuk Parlimen Diraja. Pemulihan Meiji mengubah Empayar Jepun menjadi negara industri moden dan sekaligus memperkuat tentera secukup-cukupnya sehingga menimbulkan konflik ketenteraan ketika berusaha memperluas liputan wilayahnya di Asia. Setelah mengalahkan China dalam Perang China-Jepun Pertama dan Rusia dalam Perang Rusia-Jepun, Jepun menguasai Taiwan, separuh Sakhalin, dan Korea.[30]

Pada awal abad ke-20, Jepun mengalami "pendemokrasian Taisho" yang dibayangkan oleh kebangkitan perluasan wilayah dan penguatan tentera Jepun. Semasa Perang Dunia I, Jepun berada di pihak Sekutu yang memenangi seluruh peperangan, sehingga Jepun dapat memperluas pengaruh dan wilayah kekuasaan. Jepun terus menjalankan politik ekspansionis dengan menduduki Manchuria pada tahun 1931. Dua tahun kemudian, Jepun menarik diri daripada Liga Bangsa-Bangsa setelah menyambut kecaman antarabangsa mengenai pendudukan Manchuria. Pada tahun 1936, Jepun menandatangani Pakatan Anti-Comintern dengan Jerman Nazi, lalu bergabung bersama Jerman dan Itali untuk membentuk Paksi pada tahun 1941[31]

Pada tahun 1937, serangan Jepun terhadap Manchuria mencetuskan Perang China-Jepun Kedua (1937-1945) yang menyebabakan Jepun dikenakan sekatan minyak oleh Amerika Syarikat[32] Pada 7 Desember 1941, Jepun menyerang pangkalan Tentera Laut Amerika Syarikat di Pearl Harbor, dan menyatakan perang terhadap Amerika Syarikat, British, dan Belanda. Serangan Pearl Harbor mengheret AS ke kancah Perang Dunia Kedua. Setelah kempen tentera yang berlarutan di Lautan Pasifik, Jepun banyak kehilangan wilayah-wilayah yang dikuasainya sejak awal peperangan. Amerika Syarikat melakukan pengeboman strategis terhadap Tokyo, Osaka dan kota-kota besar yang lain. Setelah AS menjatuhkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun akhirnya menyerah kalah tanpa syarat kepada pihak berikat pada 15 Ogos 1945 (Hari Kemenangan atas Jepun).[33]

Peperangan banyak membawa penderitaan bagi rakyat Jepun dan juga di wilayah-wilayah jajahan Jepun. Berjuta-juta orang terkorban di negara-negara Asia yang diduduki oleh Jepun yang melaung-laungkan slogan Kemakmuran Bersama Asia. Hampir semua industri dan infrastruktur di Jepun hancur akibat perang. Pihak Sekutu melakukan repatriasi besar-besaran etnik Jepun dari negara-negara Asia yang pernah diduduki Jepun.[34] Tribunal Ketenteraan Antarabangsa untuk Timur Jauh yang diselenggarakan oleh pihak Sekutu mulai 3 Mei 1946 berakhir dengan dijatuhkannya hukuman bagi sejumlah pemimpin Jepun yang terbukti bersalah melakukan kezaliman perang.

Pencakar langit di Shinjuku, Tokyo

Pada tahun 1947, Jepun menerima Perlembagaan yang baru, yang mana Jepun ditetapkan sebagai negara yang menganut fahaman pasifisme lalu mengamalkan demokrasi liberal. Pendudukan AS terhadap Jepun secara rasmi berakhir pada tahun 1952 dengan menandatangani Perjanjian San Francisco.[35] Walaupun demikian, pasukan AS tetap mempertahankan pangkalan-pangkalan penting di Jepun, khususnya di Okinawa. Perserikatan Bangsa-Bangsa secara secara rasmi menerima Jepun sebagai anggota pada tahun 1956.

Selepas Perang Dunia Kedua, Jepun mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat, dan menempatkan Jepun sebagai kekuatan ekonomi terbesar nombor dua di dunia, dengan pertumbuhan keluaran dalam negeri kasar lebih kurang 10% setahun selama empat dekad. Kepesatan pertumbuhan ekonomi Jepun berakhir pada awal tahun 1990-an setelah pecahnya gelembung ekonominya.[36]

Rujukan

WikiPedia: Jepun ftp://ftp.fao.org/docrep/fao/009/a0699e/a0699e.pdf http://www.usyd.edu.au/news/international/226.html... http://www.atimes.com/japan-econ/AJ16Dh01.html http://www.country-data.com/cgi-bin/query/r-7176.h... http://www.economist.com/business/displaystory.cfm... http://www.economist.com/displayStory.cfm?story_id... http://www.economist.com/specialreports/displaySto... http://www.exbuzzwords.com/static/keyword_3430.htm... http://www.forbes.com/lists/2006/18/06f2000_The-Fo... http://www.friesian.com/pearl.htm